PGA Kunak Tumpaskan Aktiviti Rokok Seludup, Rampasan Cecah RM105,360

sabahheadlines
1 Min Read

KUNAK, 26 Jan 2026 – Pasukan Rondaan Jarak Jauh (RJJ) Platun Tiger, Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak berjaya menahan seorang lelaki serta merampas 288 karton rokok dipercayai tidak bercukai bernilai lebih RM100,000 dalam satu operasi di Kampung Pangkalan Nelayan, awal pagi Ahad.

Serbuan sekitar jam 12.30 tengah malam itu dilaksanakan susulan maklumat risikan serta pemantauan berterusan di kawasan perkampungan atas air berkenaan.

Hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah tanpa nombor mendapati rokok pelbagai jenama disorokkan di dalam bilik simpanan pakaian. Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan.

Semua barangan rampasan bersama suspek telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.

PGA Kunak menegaskan kejayaan operasi tersebut mencerminkan kecekapan risikan dan komitmen berterusan pasukan dalam membanteras kegiatan penyeludupan, sambil memaklumkan rondaan serta operasi penguatkuasaan akan terus diperkukuh demi keselamatan komuniti setempat.

TAMAT

Share This Article