KOTA KINABALU,23 JAN- Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan keputusan Singapura untuk membuka Pejabat Konsulat di Kota Kinabalu, yang disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh hubungan dua hala serta memperluas kerjasama antara kedua-dua pihak.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pembukaan konsulat itu dijangka memberikan nilai tambah dalam pelbagai aspek termasuk ekonomi, pelaburan, perdagangan, diplomatik dan keselamatan, sekali gus membuka lebih banyak peluang pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata Sabah sentiasa bersedia untuk menjadi rakan strategik yang progresif dan berdaya saing di peringkat serantau.
Perkara tersebut dimaklumkan kepada beliau semasa kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, TYT Vanu Gopala Menon, dan disokong oleh komitmen Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, dalam usaha memperkukuh hubungan kerjasama dengan Sabah.
TAMAT
