TAWAU, 17 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada dua batu nautika dari daratan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, bot berkenaan ditahan pada jam 9.15 pagi ketika rondaan Op Pluto Timur dan Op Sejahtera dijalankan oleh bot peronda Maritim Malaysia.
Menurut beliau, bot nelayan itu dikesan sedang menarik pukat pada jarak kira-kira 1.1 batu nautika di timur laut Kalabakan sekali gus melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang juragan bersama dua awak-awak lelaki kesemuanya warga Indonesia berusia antara 28 hingga 46 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu juragan, awak-awak, bot serta muatan hasil laut telah ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.
Tambah Ariffin, kesemua barangan termasuk bot nelayan, pukat serta hasil tangkapan telah disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM58,000.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya sering menerima aduan daripada nelayan pantai yang terjejas akibat kehadiran bot pukat tunda yang melanggar syarat lesen dengan beroperasi terlalu hampir dengan daratan.
“Aktiviti menarik pukat berhampiran pantai boleh merosakkan ekosistem laut, memusnahkan peralatan nelayan kecil serta menjejaskan sumber rezeki nelayan tradisional,” katanya.
Sehubungan itu orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.
TAMAT
