USNO SEDIA TERIMA KEPUTUSAN GRS-PANDIKAR

sabahheadlines
2 Min Read

Pandikar beramah mesra dengan ahli persatuan Cina pada jamuan makan malam tadi.

Oleh: Aleeya Badhriesiah

SANDAKAN: 6 Okt – Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) sedia menerima keputusan kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkaitan kerusi DUN yang dipertandingkan.

Presidennya Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, Usno juga akan tetap kekal bersama GRS.

“Sama ada Usno diperuntukkan satu, dua atau lebih kerusi pada pilihan raya nanti, kita akan menerima keputusan itu,” katanya kepada media di sini malam Ahad lalu.

Pandikar ditemui pada Majlis Makan Malam GRS-Usni bersama pemimpin DUN Sekong.

Pandikar berkata Usno tidak akan mengikut jejak parti lain yang keluar daripada GRS.

“USNO berpendirian bahawa gabungan paling mantap untuk diperkukuhkan adalah GRS. Walau apapun terjadi, saya tetap bersama GRS,” tegasnya.

Mengulas mengenai tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Pandikar berkata, perbezaan pandangan itu tidak menggugat keharmonian dalam gabungan tersebut.

“Kami berbincang secara baik dengan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan. Beliau berhak dengan pendirian sendiri.

“Namun, bagi kami, bekerjasama dengan parti dari Semenanjung tidak bermaksud pengkhianatan,” ujarnya.

Katanya, isu “parti tempatan” yang sering dibangkitkan adalah retorik politik kerana ramai pemimpin Sabah turut berada dalam parti dari Semenanjung seperti UMNO dan BN.

“Kalau dikatakan kerjasama dengan parti Semenanjung itu pengkhianatan maka ramailah pemimpin Sabah yang dianggap pengkhianat.
Kita jangan mudah melabel,” katanya.

Mengenai majlis itu, beliau berkata ia adalah untuk memperkenalkan calon dan mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum termasuk masyarakat Tionghua.

“Majlis ini bukan sambutan perayaan tetapi platform untuk memperkenalkan diri dalam arena politik. USNO berhasrat menawarkan calon di kawasan Sekong atas tiket GRS,” katanya.

TAMAT

Share This Article