Rumah Flat PPR Sri Keramat Terbakar, Tiada Mangsa Dilaporkan

sabahheadlines
2 Min Read

PUTATAN, 15 Januari – Sebuah rumah flat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Keramat, Jalan Ketiau Tombovo, di sini, musnah hampir 90 peratus dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.29 pagi sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian.

Komander Operasi, PBK I Linda Eslao Wagis berkata, kebakaran melibatkan sebuah unit rumah flat jenis kekal berkeluasan kira-kira 750 kaki persegi.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan satu pancutan air yang diperoleh daripada tangki jentera,” katanya.

Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.13 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 9.05 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.

Seramai 26 anggota bomba terlibat dalam operasi itu membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu dengan dua jentera FRT digerakkan ke lokasi.

Ketua Balai BBP Putatan, PKPgB Noor Sherriyana binti Bohari selaku Komander Operasi Kanan memaklumkan bahawa tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Turut membantu di lokasi kejadian ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity serta pihak Majlis Daerah bagi tujuan kawalan keselamatan dan tindakan susulan.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

TAMAT

Share This Article