SEMPORNA, 9 Januari – Seorang kru bot dilaporkan hilang manakala empat yang lain cedera selepas dua bot penumpang terlibat dalam pelanggaran di perairan kira-kira 0.3 batu nautika di timur Jeti Pelancong Semporna, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli, berkata Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui talian 999 pada kira-kira jam 11.30 pagi.
Menurut beliau, hasil maklumat awal mendapati bot pertama yang membawa lima kru mengalami kerosakan teruk akibat perlanggaran berkenaan.
Empat mangsa termasuk juragan bot dilaporkan cedera dan telah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Bagaimanapun seorang kru bot berkenaan, Rosman bin Kandau, 24 tahun disahkan hilang di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah bot kedua yang terlibat membawa dua kru dan kesemua mereka dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Susulan kejadian itu operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan pada jam 1.50 petang bagi mengesan mangsa yang masih hilang.
Operasi berkenaan melibatkan Bot CENDERAWASIH 09 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) serta Bot PSC 58 milik Pasukan Polis Marin (PPM).
“Pencarian dijalankan meliputi kawasan seluas tiga batu nautika persegi dan operasi CARILAMAT masih diteruskan,” katanya.
Dalam pada itu beliau menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi peraturan keselamatan pelayaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 014-7870624 untuk tindakan segera.
TAMAT
