Keningau, 17 September 2025 – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai dibawa arus deras ketika cuba kmenyeberangi jambatan yang dinaiki air di Kampung Nuntunan, Apin-Apin malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 9.57 malam, sebelum menghantar sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 26 kilometer.
Pasukan yang diketuai oleh PBK I Norhasrita binti Abdul Manan tiba di lokasi pada jam 10.24 malam dan segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) setelah dimaklumkan terdapat tiga mangsa kesemuanya lelaki dan merupakan kakitangan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB).
Menurut Komander Operasi, dua daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi lelaki yang dianggarkan berusia lingkungan 30-an masih belum ditemui dan dipercayai dihanyutkan arus ketika cuba menyeberang jambatan dalam keadaan banjir.
Mangsa terakhir dilaporkan memakai vest Sabah Electricity ketika kejadian berlaku.
Operasi SAR kini tertumpu di kawasan persisiran sungai dengan pasukan bomba turut mendapatkan maklumat lanjut daripada saksi serta mangsa yang selamat untuk membantu pencarian.
Operasi disertai oleh 9 anggota bomba bersama dua jentera iaitu satu unit FRT (6 anggota) dan satu unit EMRS (3 anggota).
Turut berada di lokasi ialah agensi-agensi lain yang membantu dalam operasi pencarian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi pihak bomba atau Ketua Balai BBP Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam bin Sainkui di talian 010-539 3417.
TAMAT
