Empat Hanyut Dibawa Arus Banjir di Tawau, Seorang Maut

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 9 Januari 2026 – Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia manakala tiga lagi selamat selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua buah motosikal dihanyutkan arus banjir dalam kejadian di Kampung Sungai Udin, di sini, malam tadi.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 9.34 malam memaklumkan terdapat mangsa dihanyutkan arus deras ketika cuba melalui jalan raya yang dinaiki air.

Komander Operasi, PBK II Zougarana Bin Konin berkata, sebuah kenderaan pacuan empat roda yang membawa dua buah motosikal dilaporkan cuba merentasi kawasan banjir sebelum dihanyutkan arus deras.

“Empat mangsa terlibat dalam kejadian ini iaitu dua mangsa berada di dalam kenderaan pacuan empat roda dan dua lagi merupakan penunggang motosikal yang menumpang di belakang kenderaan tersebut,” katanya.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau tiba di lokasi kejadian pada jam 10.47 malam selepas menempuh perjalanan sejauh 45 kilometer sebelum menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Beliau berkata, tiga mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus banjir.

Operasi pencarian dilakukan dengan kaedah pencarian permukaan di sepanjang tebing sungai dengan radius sejauh satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

Mangsa yang hilang akhirnya ditemui pada jam 7.15 pagi ini oleh seorang pekerja ladang kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa dibawa keluar menggunakan pengusung oleh pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia lingkungan 30-an manakala tiga mangsa lain iaitu dua lelaki berusia 27 dan 23 tahun serta seorang lagi lelaki dewasa dilaporkan selamat.

Operasi melibatkan seramai lapan anggota BBP Tawau, dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merotai dan PBS Umas serta agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada ancaman lain, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.44 pagi.

TAMAT

Share This Article