Sabah Perkukuh Kerjasama Strategik Sektor Swasta Demi Pertumbuhan Ekonomi Rakyat

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU, 8 JANUARI 2026-Kerajaan Negeri Sabah melihat potensi besar kerjasama strategik dengan sektor swasta dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi dan membuka peluang baharu kepada rakyat.

Perkara itu dizahirkan susulan sesi perjumpaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif 10 Star Cinemas, Onn Norshal Hamzah dan Ketua Pegawai Operasi 99 Speedmart, Yong Eng Kwang, yang membincangkan peluang pelaburan serta pengembangan perniagaan di Sabah.

10 Star Cinemas kini mengendalikan enam pawagam di negeri ini, dengan dua lagi dijadualkan dibuka di Kinarut dan Kundasang. Pawagam di Kundasang bakal tampil sebagai pawagam pelancongan pertama di Malaysia. Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif akan terus menyokong inisiatif yang memperkukuh ekosistem kreatif, membuka peluang pekerjaan dan mengangkat karya anak Sabah ke peringkat nasional.

Sementara itu, 99 Speedmart mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan 287 cawangan di Sabah, jualan mencecah RM945 juta pada 2025 serta menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Syarikat itu turut merancang membuka cawangan francais di Kinabatangan bagi merangsang ekonomi komuniti setempat.

Kerajaan Negeri menegaskan komitmen untuk terus mengalu-alukan kerjasama strategik bersama syarikat berdaya maju yang berpaksikan kesejahteraan rakyat demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan inklusif.

Perjumpaan tersebut turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

TAMAT

Share This Article