MPS Perkasa Ekonomi Mikro Dan Perkukuh Jenama Tempatan Sandakan

sabahheadlines
3 Min Read

SANDAKAN,6 JANUARI 2026- Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) sedang melaksanakan strategi pembangunan menyeluruh berteraskan pengukuhan jenama tempatan dan ekonomi mikro bagi memacu pertumbuhan ekonomi daerah itu secara mampan.

Presiden MPS, Walter Kenson berkata, antara inisiatif utama yang digerakkan ialah kerjasama strategik bersama Dewan Perniagaan Cina Sandakan menerusi penubuhan jawatankuasa bersama bagi merancang ekosistem perniagaan, susun atur industri serta hala tuju pembangunan ekonomi secara lebih sistematik.

Beliau berkata, pendekatan kerjasama antara sektor awam dan swasta itu bertujuan memperkukuh kedudukan Sandakan sebagai pusat kelahiran jenama tempatan yang berdaya saing.

“Menerusi kerjasama ini, kita mahu jenama tempatan Sandakan dibangunkan secara tersusun dan dikenali bukan sahaja di peringkat daerah malah ke luar kawasan,” katanya kepada media selepas menghadiri majlis pembukaan sebuah jenama makanan tempatan di Bandar IJM, Batu 6, di sini, Ahad lalu.

Menurutnya, Sandakan telah melahirkan banyak perusahaan makanan dan runcit yang berjaya berkembang ke luar daerah namun kurang disusun dan dipromosikan secara bersepadu menyebabkan identiti ‘berasal dari Sandakan’ belum dimanfaatkan sepenuhnya sebagai nilai komersial.

Sehubungan itu, MPS akan menyusun semula serta memperhebat promosi produk dan jenama tempatan merangkumi sektor makanan dan minuman, produk tempatan serta industri berkaitan bagi membuka peluang pertumbuhan yang lebih luas kepada usahawan setempat.

Dalam perkembangan berkaitan, Walter berkata MPS turut merancang kerjasama strategik dengan Persatuan Industri Sarang Burung Sandakan bagi mempromosikan industri sarang burung tempatan secara lebih tersusun melalui integrasi industri dan strategi penjenamaan yang lebih berkesan.

Di peringkat dasar pula, beliau menegaskan MPS telah mempermudah prosedur permohonan lesen perniagaan dan permit berkaitan sekali gus mengurangkan karenah birokrasi serta melaksanakan sepenuhnya dasar pihak berkuasa tempatan yang mesra pelaburan.

Usaha itu katanya mula menunjukkan hasil positif apabila kelulusan lesen perniagaan meningkat daripada 2,273 pada 2024 kepada 2,463 pada 2025 iaitu peningkatan hampir 10 peratus sekali gus mengaktifkan semula premis perniagaan yang sebelum ini tidak beroperasi.

“MPS akan terus menambah baik sistem dalaman pada 2026 bagi memperkukuh sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor perkhidmatanNselain bekerjasama dengan wakil rakyat dan agensi berkaitan untuk meningkatkan infrastruktur serta hubungan serantau demi pertumbuhan ekonomi Sandakan yang lebih mampan,” katanya.

TAMAT

Share This Article