SANDAKAN, 6 Januari 2026 — Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sandakan menjalankan pemantauan air pasang besar di beberapa kawasan berisiko sekitar daerah ini bermula jam 10.30 malam hingga 1.00 pagi susulan jadual pasang surut yang dikeluarkan oleh Pusat Hidrografi Nasional (National Hydrographic Centre Malaysia).
Pemantauan melibatkan Kampung Tinusa 2, Kampung Forest, Kampung Sim-Sim, Kampung Tabah Baru dan Kampung Air.
Hasil pemantauan mendapati keadaan air pasang berada dalam keadaan terkawal tanpa sebarang laporan rumah, jalan raya atau jambatan terjejas.
Menurut APM Sandakan, bacaan air pasang tertinggi direkodkan pada jam 12.18 tengah malam dengan paras 2.7 meter manakala air surut direkodkan pada jam 7.19 pagi dengan paras 0.2 meter.
Sepanjang tempoh pemantauan cuaca dilaporkan baik dan tidak hujan.
Di Kampung Tabah Baru, pemantauan antara jam 10.55 malam hingga 11.20 malam mendapati situasi masih terkawal dan paras air menunjukkan tanda-tanda mulai surut.
Keadaan sama turut dilaporkan di Kampung Air, Kampung Sim-Sim, Kampung Forest dan Kampung Tinusa 2 di mana paras air beransur menurun dan tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada penduduk setempat.
Tiada jalan dinaiki air, kampung terputus hubungan, pusat transit atau pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan sepanjang tempoh pemantauan.
Operasi pemantauan melibatkan kekuatan seorang pegawai dan tujuh anggota APM dengan sokongan logistik sebuah kenderaan LRV (JMC) dan sebuah ambulans selain kelengkapan keselamatan seperti jaket keselamatan, helmet, lampu suluh dan peralatan sokongan lain.
APM Sandakan memaklumkan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin dan situasi kekal terkawal selaras dengan peranan sebagai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan.
TAMAT
