Dua Lelaki Ditahan, Syabu Dirampas dalam Operasi Narkotik di Lahad Datu

sabahheadlines
1 Min Read

LAHAD DATU, 6 Januari 2026 – Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu berjaya menahan dua lelaki tempatan dan warga asing dalam dua tangkapan berasingan kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu, dalam operasi yang dijalankan hari ini.

Dalam tangkapan pertama kira-kira jam 10.30 pagi, sepasukan polis yang menjalankan Op Tapis telah menahan seorang lelaki berusia 73 tahun di kawasan Kampung Sarang Burung, Jalan Lahad Datu–Tungku.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki 0.14 gram dadah disyaki jenis syabu. Ujian saringan awal air kencing ke atas suspek turut menunjukkan keputusan positif.

Sementara itu, dalam tangkapan kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 51 tahun di Jalan Dam, Lahad Datu.

Pemeriksaan lanjut menemui 0.10 gram dadah disyaki jenis syabu yang disimpan di dalam sebuah kotak rokok milik suspek.

Ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif dadah.

Kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

TAMAT

Share This Article