KOTA BELUD, 1 Mac — Seorang lelaki berusia 44 tahun meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari pokok ketika menjalankan aktiviti memburu bersama rakan-rakannya di kawasan hutan Sapoda, di sini, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.45 malam melalui talian balai.
Menurut laporan, rakan mangsa terpaksa keluar dari kawasan hutan bagi mendapatkan bantuan selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri akibat terjatuh dari pokok.
Seramai lima anggota dari BBP Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 39 kilometer dari balai dan tiba pada jam 8.25 malam.
Bagaimanapun, pasukan penyelamat berdepan kesukaran apabila laluan ke lokasi tidak boleh dilalui kenderaan.
Pasukan bomba bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ranger Sapoda terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke tempat mangsa berada.
Komander Operasi, PBK II Hawie Liun, melaporkan bahawa setibanya di lokasi, mangsa didapati tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.
Pasukan bomba dengan bantuan Ranger Sapoda kemudian membawa keluar mangsa menggunakan jungkin stretcher ke jalan utama sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut melibatkan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dua pegawai KKM, dua Ranger Sapoda serta 12 orang awam itu tamat sepenuhnya pada jam 10.56 malam.
Ketua Balai BBP Kota Belud, PPgB Elge Bakuk, boleh dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan kejadian.
TAMAT
