Kebakaran Kilang Sawit di Beluran Berjaya Dikawal Awal Pagi

sabahheadlines
2 Min Read

BELURAN, 4 Januari 2026 – Sebuah kilang milik Sapi Plantation Sdn Bhd di Jalan Sapi Nangoh, Sungai Sapi Beluran dilaporkan terbakar dalam satu kejadian kebakaran awal pagi tadi namun berjaya dikawal tanpa melibatkan sebarang kecederaan.

Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2.39 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 82 kilometer dari balai.

Menurut Komander Operasi, Ab Azman bin Asiman setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 4.24 pagi didapati kebakaran melibatkan campuran fiber dan ampas kelapa sawit di dalam sebuah Thresher Drum bersaiz 15 x 10 x 25 kaki yang terbakar kira-kira 25 peratus.

“Seramai enam anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) kilang telah bertindak pantas mengawal dan memadam kebakaran sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba kemudiannya menjalankan tindakan pemasangan sawar-sawar keselamatan serta pengambilan maklumat bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan terkawal.

Operasi kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 4.50 pagi dan ditamatkan pada jam 5.01 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.

Seramai tujuh anggota BBP Beluran terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan sebuah jentera FRT melibatkan tiga anggota dan sebuah CFRT dengan empat anggota.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

TAMAT

Share This Article