KOTA KINABALU, 4 Januari 2026 – Seramai 18 mangsa termasuk wanita dan kanak-kanak berjaya dipindahkan dengan selamat selepas kawasan Kampung Rampayan, Menggatal dilanda banjir malam tadi.
Menurut laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.15 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi pada 8.23 malam kira-kira enam kilometer dari balai.
Operasi pemindahan mangsa diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Saflan Sapri dan dibantu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, BBP Kota Kinabalu serta BBP Penampang,selain kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Operasi memindahkan mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Darau berjalan lancar dan semua mangsa berjaya dipindahkan dalam keadaan selamat,” katanya.
Mangsa yang dipindahkan melibatkan lima Ketua Isi Rumah, terdiri daripada seorang lelaki dewasa, 11 perempuan dewasa serta enam kanak-kanak lelaki dan perempuan.
JBPM turut menggerakkan seramai 13 anggota bersama beberapa aset termasuk sebuah jentera FRT, EMRS, lori, kenderaan pacuan empat roda serta sebuah bot bagi melancarkan operasi.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.05 tengah malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi mangsa yang terjejas.
Pemantauan berkala akan terus dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan terkawal.
Sementara itu, Pegawai Kanan Ibu Pejabat JBPM Sabah turut memantau operasi berkenaan bagi memastikan keselamatan mangsa dan anggota terjamin.
TAMAT
