KENINGAU, 31 Disember – Tiga lelaki cedera selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kereta di hadapan Bulatan Jabatan Kerja Raya (JKR) Keningau, lewat malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam sebuah Isuzu D-MAX dilaporkan bertembung dengan Proton Saga menyebabkan tiga mangsa yang menaiki Proton Saga tersepit di dalam kenderaan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, PKPgB Severinus @ Mohd Nidzam bin Sainkui berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.50 malam sebelum sepasukan 10 anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh enam kilometer.
“Jentera bomba tiba di lokasi pada jam 11.54 malam dan mendapati terdapat tiga mangsa lelaki tersepit di dalam Proton Saga,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, anggota bomba bertindak mengeluarkan semua mangsa menggunakan peralatan khas sebelum mereka diberikan rawatan awal.
Seorang mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Bomba manakala dua lagi mangsa dibawa oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mangsa yang cedera masing-masing berumur 20 dan 21 tahun termasuk Rayner Laumin @ Rosiman, 20 dan kesemua mereka dilaporkan mengalami kecederaan.
Operasi yang diketuai PBK I Norhasrita binti Abdul Manan itu turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah malam selepas keadaan disahkan selamat.
TAMAT
