LAHAD DATU, 26 November 2025 – Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dengan kerjasama Cawangan Khas (CK), BPJKK, BSJND, BSJD serta balai-balai polis di bawah pentadbiran IPD Lahad Datu telah menjalankan Operasi Motosikal (Samseng Jalanan) di beberapa lokasi sekitar bandar ini lewat malam tadi.
Operasi yang diketuai Ketua BSPT IPD Lahad Datu, Inspektor Mohd Riduan Abdullah @ Mustaffa melibatkan kawasan Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Central serta laluan Jalan Lahad Datu–Sandakan/Tawau.
Dalam operasi berkenaan, dua lelaki bukan warganegara ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah selain menunggang motosikal tanpa lesen memandu.
Selain itu sebanyak empat buah motosikal telah ditahan dan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala 13 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Polis (ACP) Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti tidak bermoral dan membahayakan keselamatan awam.
Menurutnya, operasi seumpama itu akan diteruskan secara berterusan bagi membendung penularan kegiatan samseng jalanan di daerah ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti berkenaan diminta menyalurkannya kepada Bilik Gerakan IPD Lahad Datu di talian 089-881255 bagi membantu pihak polis mengambil tindakan segera.
TAMAT
