Sedih namun inilah realiti yang terpaksa kita akui hari ini, nilai kasih sayang, adab serta semangat hormat-menghormati semakin luntur dalam kalangan masyarakat.
Sebagai contoh, perutusan Hari Krismas oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Haji Musa Haji Aman telah dijadikan bahan ejekan dan kutukan didalangi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Perbuatan seperti ini tidak sepatutnya berlaku walaupun kebanyakkan komen tersebut dibuat menggunakan ‘fake account’ atau ‘cybertrooper’ yang mana boleh jadi telah dibayar dan diarahkan oleh individu tertentu tetapi ia dikhuatiri bakal membuka contoh buruk kepada generasi anak muda untuk tidak menghormati TYT sebagai ketua negeri Sabah.
Tun Musa dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong bukan kerana sesuatu kepentingan tetapi atas dasar kelayakan, kewibawaan dan pengalaman yang dimiliki.
Pelantikan ini juga suatu pengiktirafan atas peranan, kemampuan serta jasa besar beliau ketika menerajui Sabah sebagai Ketua Menteri.
Justeru saya menyeru seluruh rakyat Sabah supaya menilai semula segala fitnah yang dilemparkan terhadap Tun Musa selama ini.
Hakikatnya ia merupakan serangan politik dan akhirnya mahkamah telah membuktikan bahawa Tun Musa tidak bersalah untuk semua tuduhan tersebut.
Kes ini telah lama selesai dari sudut perundangan negara. Maka serangan dan penghinaan terhadap beliau wajar dihentikan demi menjaga keharmonian serta perpaduan di negeri tercinta ini.
Hj. M. Ridzal-Aktivis Masyarakat
