Pasukan Khas Bersepadu Ditubuhkan Tangani Isu Pelancongan Semporna

sabahheadlines
2 Min Read

KOTA KINABALU,23 Dis-Kerajaan Sabah menubuhkan Pasukan Khas (Task Force) Bersepadu bagi menangani secara menyeluruh isu-isu pelancongan di Semporna yang dilihat menjejaskan imej, keselamatan serta kelestarian industri pelancongan negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, penubuhan pasukan khas itu merupakan langkah strategik kerajaan negeri bagi memastikan isu-isu berlarutan dapat diselesaikan secara tuntas melalui pendekatan yang sistemik dan bersepadu bukan sekadar tindakan reaktif.

Menurut beliau, pasukan berkenaan akan dikawalselia oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Rizal dengan laporan kemajuan akan dikemukakan setiap dua minggu bagi memastikan pelaksanaan tindakan yang berfokus, berperingkat serta berakauntabiliti.

Beliau berkata, antara cabaran utama yang dikenal pasti termasuk ketidakselarasan bidang kuasa antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah selain isu struktur tidak berlesen, aspek keselamatan, kebersihan serta pengurusan infrastruktur pelancongan.

Pasukan khas bersepadu itu melibatkan penyertaan pelbagai agensi berkaitan termasuk MOTAC, agensi penguatkuasaan, Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, ESSCOM, Tourism Malaysia Sabah, Pejabat Daerah Semporna serta Taman-Taman Sabah.

Jafry menegaskan bahawa kegagalan menangani isu-isu berkenaan boleh memberi kesan besar terhadap keseluruhan sektor pelancongan Sabah justeru semua pihak yang terlibat diminta memberikan komitmen penuh bagi memastikan penyelesaian yang berkesan dan mampan dapat dicapai.

Sebagai langkah awal katanya, tindakan ad hoc pasukan khas telah dimulakan termasuk sesi libat urus bersama pemain industri pelancongan di Semporna selain komitmen beliau untuk turun padang memantau sendiri pelaksanaan tindakan yang telah dirancang.

TAMAT

Share This Article