PUPUTATAN, 23 Dis-Sebanyak sembilan buah rumah atas air musnah dalam satu kebakaran di Kampung Pasir Putih, di sini, tengah hari kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.35 tengah hari itu, lapan buah rumah dilaporkan terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah mengalami kemusnahan sekitar 10 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana binti Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai dan NG999 sebelum jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 3.5 kilometer dari balai.
“Jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.41 petang dan mendapati kebakaran melibatkan rumah atas air jenis tidak kekal dengan keluasan anggaran 20 x 60 meter persegi,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, operasi pemadaman melibatkan seramai 38 anggota dari BBP Putatan, BBP Penampang dan BBP Kota Kinabalu dibantu Unit Komunikasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Operasi diketuai oleh Pegawai Kanan Penguasa Bomba, Noor Sherriyana binti Bohari selaku Komander Operasi Kanan manakala Pegawai Bomba Kanan I, Norazrin binti Suhairi bertindak sebagai Komander Operasi.
“Pemadaman dijalankan menggunakan lima aliran sepanjang 800 kaki dengan tujuh pancutan air. Sumber air diperoleh daripada jentera bomba, lori tangki air serta pili bomba berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 2.33 petang dan operasi ditamatkan pada jam 5.51 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.
Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity (SE), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Daerah Putatan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
TAMAT
