GRS Janji Deposit Percuma Rumah Pertama, Bantuan Warga Emas 60 TahunGRS Janji Deposit Percuma Rumah Pertama, Bantuan Warga Emas 60 Tahun

sabahheadlines
3 Min Read

KOTA BELUD, 18 Nov – Anak Sabah yang mahu membeli rumah pertama bakal menikmati bantuan pembayaran deposit secara percuma sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kembali diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU) Ke-17, 29 November ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, inisiatif itu antara perancangan baharu kerajaan pimpinannya bagi membantu golongan muda dan keluarga baharu memiliki kediaman sendiri tanpa perlu menanggung beban kos pendahuluan yang tinggi.

Beliau berkata, pembeli rumah berharga bawah RM500,000 lazimnya perlu menyediakan deposit antara lima hingga 10 peratus namun GRS bersedia menanggung kos tersebut sepenuhnya.

“Jika kembali memerintah.. kita akan bantu bayar deposit percuma kepada pembeli rumah pertama yang layak,” katanya pada Program Jelajah Rumah Kita, Kita Jaga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Tempasuk dan Usukan di kediaman Datuk Japlin Akim di sini pada Selasa.

Selain itu, Hajiji mengumumkan perancangan baharu bantuan bulanan kepada rakyat Sabah berumur 60 tahun ke atas sebagai langkah kerajaan meningkatkan kebajikan golongan warga emas.

Menurutnya, usaha tersebut mampu direalisasikan selepas rundingan pengembalian hasil 40 peratus Sabah mencapai kemajuan dan dijangka menambah hasil pendapatan negeri.

“Banyak lagi yang kita rancang tapi saya tidak mahu cakap semua sekarang kerana nanti pembangkang kata ini hanya cakap politik.

“Apa yang kita lakukan ini adalah untuk mengatasi masalah rakyat supaya mereka dapat menikmati hasil kemerdekaan,” katanya.

Hajiji turut menempelak dakwaan pembangkang kononnya mahu membawa perubahan di Sabah sedangkan ketika mereka memegang pentadbiran negeri dan kementerian penting Persekutuan sebelum ini pelbagai masalah asas seperti air, jalan raya dan infrastruktur gagal ditangani.

“Ada yang pernah jadi Menteri Kerja Raya tapi jalan raya di kawasan sendiri pun tidak dibuat.

“Di Semporna pula sampah bersepah sedangkan mereka bercakap mahu majukan Sabah,” katanya.Mengulas peluang GRS di Tempasuk dan Usukan, Hajiji yang juga Pengerusi GRS yakin calon gabungan itu mampu mencapai kemenangan pada PRU kali ini.

Beliau berkata, kedua-dua kawasan itu perlu ditadbir wakil GRS bagi memastikan pembangunan dilaksana dengan lebih teratur dan tidak terabai oleh pemimpin parti lawan yang hanya fokus kepada politik.

“Saya berharap sangat ada perubahan di Kota Belud terutama di Tempasuk dan Usukan.“Sebab itu kita perlu beri kepercayaan kepada orang baharu,” katanya.

TAMAT

Share This Article