KPDN Perketat Penguatkuasaan, Laksana Jualan Rahmah & Servis Ihsan Sempena Krismas

sabahheadlines
2 Min Read

PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperketat penguatkuasaan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2025 bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pegawai penguat kuasa KPDN akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah, selain pendekatan pendidikan dan nasihat turut dilaksanakan.

Beliau berkata peniaga diwajibkan menggunakan label harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, manakala tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksimum atau gagal mempamerkan tanda harga.

“Pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu, manakala syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000,” katanya.

Dalam pada itu, KPDN turut melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Krismas bermula 18 hingga 27 Disember membabitkan 875 lokasi di seluruh negara bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Selain itu, Program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) turut dilaksanakan melibatkan 115 bengkel di seluruh negara sepanjang tempoh sama, dengan tempahan boleh dibuat melalui aplikasi SETEL.

Orang ramai digalakkan menyalurkan sebarang aduan berkaitan harga atau salah laku peniaga melalui saluran rasmi KPDN termasuk WhatsApp, talian hotline, laman e-aduan dan aplikasi Ez ADU KPDN.

TAMAT

Share This Article