KOTA KINABALU-20 Dia, Sekolah Agama Negeri (SAN) dan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mencatat pencapaian terbaik dalam tempoh 10 tahun bagi Peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) tahun 2025.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd. Arif berkata, kejayaan itu mencerminkan peningkatan ketara kualiti pendidikan agama di Sabah sekali gus membuktikan keberkesanan pelaksanaan dasar dan sokongan berterusan kerajaan negeri.
Menurut beliau, sebanyak 22 daripada lebih 100 buah SAN mencatat keputusan lulus 100 peratus dalam peperiksaan SRU manakala SMAN Toh Puan Hajah Rahmah dinobatkan sebagai SMAN terbaik bagi peperiksaan SMU (KBD) dan SMAN Kunak muncul terbaik bagi SMU (KBT).
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SRU dan SMU di Pejabat JHEAINS di sini, sambil menzahirkan penghargaan kepada JHEAINS, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) khususnya Bahagian Pendidikan JHEAINS, para pengetua, guru besar, PIBG, ibu bapa serta pelajar atas komitmen dan kerjasama yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.
Dalam pada itu, Arifin menegaskan bahawa Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 terus memberi penekanan seimbang terhadap pendidikan akademik, kemahiran serta pembangunan spiritual dan sahsiah.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri akan terus menyalurkan sokongan dan bantuan kepada SAN, SMAN termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta sekolah-sekolah tahfiz berdaftar di Sabah.
TAMAT
