TENOM-20 Dis, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) menggesa Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) agar terus mempertingkat kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada pekebun kecil getah bagi memastikan komuniti itu turut menikmati kemakmuran negeri dan negara.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) kepada pekebun kecil getah Daerah Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom di sini, hari ini.
Jamawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap menegaskan komitmen kementeriannya untuk memastikan setiap perancangan dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat khususnya di kawasan Melalap dan amnya seluruh Sabah.
Beliau turut memaklumkan MAFFI akan melaksanakan tiga inisiatif utama bermula tahun hadapan bagi memperkukuh keterjaminan makanan dan meningkatkan pendapatan rakyat iaitu pemerkasaan Program Kebun Dapur, pelaksanaan Program Mentor–Mentee Pertanian serta penggalakan Ekonomi Digital dalam kalangan usahawan industri makanan.
Menurutnya, Program Kebun Dapur akan dilaksanakan mengikut kesesuaian kawasan dan keupayaan isi rumah melalui aktiviti tanaman, perikanan serta ternakan berskala kecil bagi meningkatkan sumber makanan asas rakyat. Program Mento,Mentee pula bertujuan membimbing generasi muda menceburi sektor pertanian secara lebih tersusun dan mampan.
Sementara itu, penggalakan ekonomi digital diyakini mampu membantu pengusaha industri makanan meluaskan pasaran produk serta meningkatkan pendapatan di samping membuka peluang kepada golongan muda dalam bidang pemprosesan makanan.
Dalam pada itu, Jamawi memaklumkan satu kertas kerja akan disediakan oleh LIGS bersama kementerian bagi mencadangkan kenaikan subsidi Bantuan Kerajaan Negeri (BKN) kepada penoreh getah susulan permintaan golongan berkenaan sebelum dibentangkan dalam Mesyuarat Kabinet akan datang.
Seramai 9,000 penoreh getah berdaftar di bawah LIGS dengan 150 penerima menerima Bantuan Musim Tengkujuh pada majlis berkenaan.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program penyerahan BMT kepada pekebun kecil getah di daerah itu.
TAMAT
