PUTATAN, 18 Disember — Empat individu cedera, termasuk seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah, dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Lintas Kampung Kepayan, berhampiran
Lintas Platinum Hotel, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS999 pada jam 12.43 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi, Norazrin binti Suhairi, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan Mitsubishi Xpander dan Perodua Bezza yang bertembung sebelum kedua-duanya terbabas ke bahu jalan.
“Seramai empat mangsa terlibat dalam kejadian ini dan kesemuanya mengalami kecederaan dengan tahap berbeza,” katanya.
Mangsa pertama, pemandu Mitsubishi Xpander berusia 59 tahun dilaporkan selamat manakala penumpang kenderaan sama seorang wanita berusia 57 tahun mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu pemandu Perodua Bezza berusia 23 tahun dilaporkan mengalami kecederaan parah manakala penumpangnya lelaki berusia 24 tahun dan merupakan warga Indonesia, mengalami kecederaan ringan.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi pada jam 12.52 tengah malam segera memberikan rawatan awal sebelum semua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi yang turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM itu dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 1.05 pagi selepas keadaan disahkan selamat.
Seramai enam anggota bomba dengan sebuah jentera FRT terlibat dalam operasi tersebut.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu terutamanya pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.Empat Cedera dalam Kemalangan Dua Kenderaan di Jalan Lintas Putatan.
TAMAT
