TUARAN, 15 Nov – Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 berjalan lancar di seluruh negeri hari ini, termasuk di Tuaran yang menyaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mempertahankan kerusi DUN N.12 Sulaman.
Beliau diumumkan sebagai Calon No. 1, sekali gus melanjutkan tanggungjawab besar untuk terus berkhidmat kepada rakyat Sulaman dan memastikan agenda pembangunan negeri dapat diteruskan dengan lebih teratur dan berkesan.
“Ini bukan sekadar pencalonan tetapi amanah besar untuk terus berkhidmat kepada rakyat Sulaman serta memastikan agenda pembangunan Sabah dapat diteruskan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyataan selepas proses penamaan calon.
Mengulas mengenai tempoh kempen selama dua minggu yang bermula hari ini, beliau menyeru semua calon dan penyokong untuk berkempen secara matang, berhemah dan penuh rasa hormat bagi mengekalkan keharmonian masyarakat.
“Marilah kita menjaga keharmonian serta perpaduan yang selama ini menjadi kekuatan kita di negeri Sabah tercinta,” katanya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada warga Sulaman dan Tuaran atas sokongan padu yang tidak pernah putus, sambil berharap agar perjalanan kempen serta proses demokrasi berjalan lancar dan aman.
“Insya-Allah, dengan iringan doa dan sokongan seluruh rakyat Sabah, kita akan meneruskan perjuangan untuk membawa kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua,” ujarnya.
TAMAT
