GRS yakin beri saingan sengit pada PRN Sabah ke-17

LAHAD DATU, 4 Nov: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia memberi saingan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 berikutan gelombang sokongan rakyat semakin meningkat.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Silam, Datuk Mizma Appehdullah berkata, GRS kini sentiasa meniti di bibir rakyat hasil gerakan aktif jentera parti di pelbagai peringkat.

Katanya, komitmen jentera akar umbi yang bekerja keras menjadi bukti sokongan padu terhadap GRS.

“GRS Silam kini sedang giat bekerja sebagai tanda komitmen terhadap parti dan mengukuhkan parti.

“Selaku Ketua Bahagian, saya tekankan kepada ahli mengenai tanggungjawab demi memastikan kemenangan parti,” katanya.

Menurut Mizma yang juga Ketua Wanita GRS Zon 6B, rakyat kini semakin sedar kepentingan memilih parti yang benar-benar bekerja untuk mereka.

Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan GRS telah membawa banyak manfaat kepada rakyat melalui pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bukan sahaja memperkukuh ekonomi negeri tetapi juga mensejahterakan rakyat.

“Justeru itu saya tekankan kepada mereka untuk terus memilih GRS agar segala usaha membangun negeri dan mensejahterakan rakyat dapat dilaksanakan,” jelasnya.

Mengulas khabar angin berkaitan calon yang bakal bertanding pada PRN nanti, Mizma menegaskan bahawa masa ini bukan untuk memikirkan soal calon sebaliknya untuk terus bekerja memastikan kemenangan parti.

“Soal calon dan kawasan kita serahkan kepada pucuk pimpinan.
“Saya yakin Presiden kita, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama pucuk pimpinan lain akan membuat keputusan terbaik untuk parti,” katanya.

TAMAT