PUTATAN (4 NOVEMBER): Parti Bumi Kenyalang (PBK) meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaannya.
Pegawai penerangan parti itu, Datuk Jasni Matlani berkata kesejahteraan itu merangkumi rakyat secara menyeluruh dan tidak akan memihak kepada golongan tertentu.
” Kita akan berjuang untuk kesejahteraan rakyat tanpa memilih dan perjuangan ini akan kita buktikan apabila rakyat memilih kita,” katanya di sini hari ini.
Jasni yang merupakan calon pilihan PBK Sabah untuk DUN Tanjung Keramat pada pilihan raya umum Sabah berkata, PBK Sabah akan berjuang untuk memastikan masalah yang dihadapi oleh rakyat diambil tindakan bagi diselesaikan.
Katanya, PBK Sabah berpegang kepada prinsip ‘kita cakap kita buat’ dan masalah yang dihadapi oleh rakyat sepatutnya tidak berlaku pada ketika ini.
Menurutnya, masalah itu sudah lama berlaku dan ia berpanjangan kerana sikap tidak peduli oleh mereka yang diangkat menjadi pemimpin kepada rakyat.
“Saya telah melawat beberapa kampung dan masalah dihadapi ada sama dan antaranya masalah bekalan air sepertimana yang berlaku di DUN Keramat.
” Sepatutnya masalah seumpama ini tidak harus berlaku jika rakyat diutamakan” katanya lagi.
Bukan hanya air, katanya, tetapi masalah jalan kampung, penyusunan perkampungan dan sebagainya.
Menurutnya, masalah itu tidak akan berpanjangan sekiranya kesejahteraan rakyat diutamakan.
“Inilah yang akan diperjuangkan oleh PBK …kesejahteraan rakyat wajib diutamakan,” katanya.
Tamat

