Amirshah tekankan kepentingan pilih wakil rakyat prihatin dan komited

SANDAKAN, 2 NOVEMBER — Rakyat digesa agar memilih wakil rakyat yang prihatin, berintegriti dan komited dalam berkhidmat.

Gesaan itu diluahkan oleh Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Sungai Sibuga Datuk Amirshah Yaakub.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Muhibbah bersama pemimpin tempatan dan wakil komuniti Cina yang diadakan di sebuah restoran di Bandar Fajar Perdana, baru-baru ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Robert Chong Thien Ming, Pengerusi Bahagian LDP Sungai Sibuga, Lam Jin Dak, beberapa Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) serta wakil komuniti Cina sekitar kawasan tersebut.

Amirshah berkata, kawasan Batu 7 di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga) kini didiami lebih 75,000 penduduk dengan lebih 8,000 buah rumah dan beliau sendiri telah aktif berkhidmat sejak lima tahun lalu.

“Saya berikrar untuk meneruskan usaha berkhidmat kepada masyarakat di kawasan ini.

“Sokongan dan kepercayaan rakyat amat penting untuk memastikan kesinambungan pembangunan yang mampan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan menyatakan hasrat untuk menganjurkan lebih banyak pertemuan komuniti pada masa akan datang bagi memupuk hubungan erat dan semangat muhibbah antara semua kaum.

Sementara itu Robert Chong dalam ucapannya menyeru komuniti Cina agar terus menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan Sungai Sibuga.

“Perpaduan dan kerjasama erat antara komuniti dan pengundi tempatan amat penting bagi memastikan kemajuan yang berterusan,” tegasnya.

Majlis tersebut berakhir dalam suasana harmoni, menggambarkan komitmen GRS memperkukuh jalinan dengan semua lapisan masyarakat di kawasan Sungai Sibuga.

TAMAT