Penampang, 4 Mac-Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas lebih 552 tan produk ayam dan daging sejuk beku yang dipercayai melanggar peraturan keselamatan makanan dalam satu operasi bersepadu di Kampung Nambazan, Donggongon, pagi kelmarin.
Serbuan kira-kira jam 10 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Ahmad Amri bin Abd Rahman berkata operasi tersebut hasil risikan dan perkongsian maklumat antara agensi yang mengesyaki premis berkenaan dijadikan lokasi penyimpanan produk ayam dan daging sejuk beku dalam kuantiti besar.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai produk ayam dan daging sejuk beku disimpan di premis tersebut.
Pemeriksaan lanjut bersama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati sebahagian produk telah tamat tempoh,” katanya.
Menurut beliau, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar turut mengesahkan terdapat keraguan terhadap dokumen yang dikemukakan susulan ketidakpatuhan kepada peruntukan undang-undang berkaitan keselamatan makanan dan peraturan veterinar.
Rampasan melibatkan anggaran berat keseluruhan kira-kira 552,851.24 kilogram termasuk sebuah fasiliti ‘cold storage’, dengan nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM14,560,149.15.
Seorang lelaki warga tempatan yang berada di lokasi kejadian turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perkhidmatan Veterinar 2015 dan Akta Makanan 1983.
Dalam pada itu Ahmad Amri menegaskan PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi bersepadu dan mengalu-alukan maklumat daripada orang ramai bagi mengekang sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang demi keselamatan serta kesejahteraan negara.
TAMAT
