MARITIM MALAYSIA TAHAN 10 PATI DI PERAIRAN KUDAT

KUDAT, 2 November – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat menahan seramai 10 pendatang tanpa izin (PATI) di kedudukan kira-kira lapan batu nautika barat laut Tanjung Simpang Mengayau, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, penahanan itu dilakukan hasil maklumat pengesanan Sistem Pengawasan Laut Sabah (SWASLA) serta tindakan pantas aset Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot yang dinaiki tidak mempunyai nombor pendaftaran dan kesemua individu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Hasbullah menegaskan, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan serta penguatkuasaan di perairan negara, khususnya di kawasan sempadan maritim Sabah bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan kemasukan PATI.

“Orang awam dinasihatkan agar tidak bersekongkol atau melindungi mana-mana aktiviti jenayah maritim. Sebarang maklumat berkaitan penyeludupan atau kemasukan PATI boleh disalurkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999,” katanya.

TAMAT