PUTATAN, 28 Oktober 2025 – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun berjaya diselamatkan selepas dipercayai cuba membunuh diri dalam satu kejadian di sebuah bangunan di daerah ini, malam tadi.
Menurut Komander Operasi, PB Muhammad Furqan Abdullah, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan menerima panggilan kecemasan melalui talian balai pada jam 11.29 malam.
“Pasukan kami dengan kekuatan empat anggota bergegas ke lokasi sejauh tiga kilometer dan tiba pada jam 11.34 malam,” katanya.
Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati seorang remaja lelaki berada dalam keadaan tidak stabil dan dipercayai cuba mencederakan diri.
Bagaimanapun, mangsa berjaya dihalang oleh rakan-rakannya sebelum bertindak lebih jauh.
Pasukan bomba kemudian menenangkan mangsa serta memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat sebelum menyerahkan mangsa kepada polis (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi turut dibantu oleh tiga anggota PDRM dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.08 pagi (28 Oktober 2025) selepas keadaan disahkan selamat.
Mangsa dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan serius.
TAMAT

