KKM Peruntuk RM1.5 Juta Naik Taraf Klinik Daif, Bina Semula Klinik Kesihatan Sungai Tamang

sabahheadlines
2 Min Read

TAWAU, 22 Okt — Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan melalui projek naik taraf klinik daif bagi mempercepat pembangunan semula Klinik Kesihatan Sungai Tamang di Pulau Sebatik, yang telah beroperasi sejak tahun 1969.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, projek berkenaan dijangka dimulakan seawal pertengahan tahun 2026 bagi memanfaatkan kira-kira 25,000 penduduk di kawasan itu.

“Ini sudah lama kita sebut tetapi masih belum mendapat apa-apa sejak RMK11. Oleh itu, saya akan mengambil pendekatan yang tegas dalam rangka pembaikan klinik-klinik daif.

“Saya tak mahu tunggu lagi.. kita akan menggunakan peruntukan yang ada dalam Kerajaan MADANI ini untuk membangunkan semula Klinik Kesihatan Sungai Tamang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Klinik Desa Sungai Imam di Tawau, pada Rabu.

Dr Dzulkefly turut mencadangkan agar Klinik Desa Sungai Imam dijadikan model atau penanda aras bagi projek naik taraf klinik desa di seluruh negara kerana pembinaannya dilaksanakan dengan pantas dan menepati keperluan rakyat.

Dalam masa sama beliau turut meneliti keperluan bot untuk petugas kesihatan serta fasiliti lain bagi kemudahan KKM di Pulau Sebatik.

“Semua usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan KKM untuk meningkatkan fasiliti kesihatan khususnya di kawasan luar bandar yang menjadi tumpuan utama.

“Inilah yang dimaksudkan dengan liputan kesihatan sejagat (UHC) bagi memastikan tiada seorang pun yang tercicir atau leaving no one behind,” katanya.

Klinik Desa Sungai Imam yang mula dibina pada April dan siap serta beroperasi sepenuhnya pada Disember tahun lalu menelan kos RM600 ribu dan kini memanfaatkan 16,222 penduduk di kawasan sekitar.

TAMAT

Share This Article