Lelaki Disyaki Dibaham Buaya di Sungai Silabukan

LAHAD DATU, 8 Okt 2025 – Seorang lelaki disyaki dibaham buaya di Sungai Silabukan, kawasan Indrawan Estate di sini awal pagi Rabu.

Mangsa, warga Indonesia dikatakan sedang membaiki pukat ketika memancing di aungai tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.41 tengah malam.

“Sepasukan anggota dari Balai Polis Lahad Datu bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) segera digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR diaktifkan pada jam 9.15 pagi hari sama dan kes diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang (OH).

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan berisiko yang diketahui mempunyai kehadiran buaya demi keselamatan diri.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ketua Polis Balai Lahad Datu, Inspektor Adzilee Suili di talian 014-8665087,” katanya.

TAMAT