BBP SIPITANG SELAMATKAN DUA PENDUDUK DI LUAGAN

sabahheadlines
2 Min Read

SIPITANG (17 SEPTEMBER): Tindakan pantas Bomba dan Penyelamat (BBP) berjaya membawa keluar dua penduduk yang terperangkap akibat banjir.

Kejadian berlaku di Kampung Luagan, dekat sini, pagi tadi apabila pihak BBP Sipitang dimaklumkan mengenai dua penduduk dalam satu keluarga terperangkap akibat banjir.

BBP Sipitang menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 11:52 pagi sebelum satu jentera bersama tujuh anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira tujuh kilometer.

Menurut Komander Operasi, PBK I Stefanus Lolon bin Andreas Lolon, sebaik tiba di lokasi pada jam 12:00 tengah hari, pihak bomba mendapati dua mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita dewasa telah terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat yang melanda kawasan tersebut.

“Pasukan kami bertindak segera dengan memindahkan semua mangsa ke kawasan selamat. Difahamkan, kedua-dua mangsa telah berpindah sendiri ke rumah ahli keluarga berhampiran bagi mendapatkan perlindungan sementara,” katanya.

Operasi disahkan tamat pada jam 12:30 tengah hari tanpa sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.

Tiada agensi lain yang terlibat dalam operasi ini. Ketua Balai BBP Sipitang, PPgB Calvin Joe Jeafrey, boleh dihubungi untuk maklumat lanjut di talian 014-6509129.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan berisiko agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa, terutamanya ketika musim hujan yang tidak menentu ketika ini.

Tamat

Share This Article