sh@ Syarmillah Salleh
SEMPORNA, 30 Ogos – Sebanyak 23 kapal layar antarabangsa berlabuh di Jelly Sea Resort di sini sempena Sail Malaysia Passage to the East Yacht Rally 2025 (Sabah Chapter) yang berlangsung hari ini.
Program anjuran Koperasi Pelancongan North Borneo Semporna Berhad dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu menjadikan Semporna sebagai salah satu destinasi persinggahan utama pelayaran dunia.
Selain mempromosikan keindahan laut dan pulau-pulau Semporna, penganjuran turut memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat melalui sektor pelancongan serta pengukuhan kerjasama koperasi.
MYANGKASA Travel & Tours Sdn Bhd, anak syarikat ANGKASA, turut memperkenalkan pakej Kerino Reef Coral Planting 3H2M yang berkonsepkan pemuliharaan laut dan pelancongan berasaskan komuniti setempat dengan kerjasama One Ocean Empire PLT.
Acara berkenaan dimeriahkan lagi dengan pameran serta jualan Batik Sabah rekaan Yuslan Jafri khas buat komuniti pelayar Sail Malaysia.
Pengerusi Koperasi,Haji Kerino Jelani, menzahirkan penghargaan kepada Managing Director Sail Malaysia, Sazli Kamal Basha atas kelancaran penganjuran serta terima kasih kepada Dato’ Seri Tengku Dr. Zainal Adlin Tengku Mahamood yang memperkenalkan Sail Malaysia kepada koperasi tersebut.
Menurut beliau, kerjasama itu akan memperkukuh kedudukan Semporna sebagai destinasi pelancongan maritim terkemuka dunia selain meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan marin dan pelancongan lestari.
TAMAT

