sh@ Syarmillah Salleh
LAHAD DATU, 7 Ogos 2025 – Cubaan menyeludup lebih 1.6 juta batang rokok pelbagai jenama dari negara jiran berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam satu operasi di kawasan Batu 8, Jalan Silam, awal pagi tadi.
Dalam operasi yang dijalankan sekitar jam 1.00 pagi itu, dua buah van putih yang mencurigakan telah ditahan untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan menemui longgokan plastik hitam berisi rokok seludup dalam kedua-dua kenderaan terbabit.
Menurut jurucakap PPM Lahad Datu, sebanyak 1,622,800 batang rokok pelbagai jenama telah dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2,087,420.00.
Dua lelaki warga tempatan berumur lingkungan 32 hingga 38 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.
PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataannya berkata, pihaknya komited untuk terus membanteras kegiatan penyeludupan yang menggugat keselamatan dan ekonomi negara. Orang awam juga digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti haram bagi membantu usaha penguatkuasaan undang-undang.
TAMAT
