SEMPORNA, 27 Julai 2025 (Ahad) – Seorang lelaki dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama rakannya dipercayai dilanggar sebuah bot lain di perairan berhampiran Jeti Balimbang, Pulau Bum-Bum, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, dua sahabat keluar memancing dari Kampung Halo menggunakan sebuah bot kayu menuju ke kawasan sekitar Pulau Mabul. Setibanya di kawasan Jeti Balimbang, sebuah bot tidak dikenali telah melanggar bot mereka dari arah kanan, menyebabkan kedua-duanya tercampak ke laut.
Salah seorang mangsa, Julamdi Bin Abdillah, 30, berjaya diselamatkan oleh sebuah bot yang kebetulan melalui kawasan kejadian dan telah dibawa pulang ke rumah sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Semporna. Beliau dibenarkan keluar selepas menerima rawatan.
Bagaimanapun, rakannya Balsiti Bin Utumani, 40, masih belum ditemui sehingga kini.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna menerima panggilan kecemasan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 6.15 pagi tadi dan terus menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke lokasi kejadian, sejauh tiga kilometer dari balai.
Operasi SAR melibatkan lima anggota BBP Air Semporna dengan diketuai oleh Komander Operasi, PB Mohammad Rafli Bin Alpaka, menggunakan bot aluminium 163-10. Turut membantu, pasukan PDRM dengan 10 anggota.
Cuaca ketika kejadian dikatakan gelap, menyukarkan mangsa untuk mengenalpasti jenis dan nombor bot yang melanggar mereka.
Operasi pencarian diteruskan di radius tiga kilometer sekitar lokasi kejadian dan akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
TAMAT
