sh@ Syarmilah Salleh
LAHAD DATU, 26 Julai : Pembinaan pusat kemudahan Internet sedia dipertimbangkan jika ada permohonan rasmi.
Pembinaan pusat itu seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sedia dipertimbangkan oleh kerajaan dan berdasarkan keperluan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Invoasi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata permohonan daripada masyarakat setempat amat penting sebagai langkah awal untuk menilai potensi sesebuah kawasan.
Katanya,langkah pertama adalah mendapatkan permohonan daripada penduduk yang memerlukan perkhidmatan internet.
” Permohonan itu kemudian dirujuk kepada pejabat daerah untuk semakan lanjut manakala
Kementerian Komunikasi akan membuat keputusan berdasarkan data yang diperoleh seperti bilangan penduduk, keadaan persekitaran dan tahap kelajuan internet yang diperlukan,”.katanya
Beliau berkata kepada media selepas menghadiri Dialog bersama belia Cina dan Kadazan Dusun Murut (KDM) di Hotel De Leton, di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, permohonan juga boleh dikemukakan secara terus ke pejabatnya untuk diangkat kepada Kementerian Komunikasi bagi tindakan selanjutnya.
Mengenai sesi dialog yang diadakan Itu , Yusof yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu menjelaskan sesi berkenaan diadakan bagi memahami keperluan masyarakat pelbagai kaum di Segama agar tidak terpinggir daripada arus pembangunan.
“Saya mahu mendengar sendiri isu dan perkembangan dalam kalangan komuniti ini sama ada berkaitan peluang pekerjaan atau keusahawanan melalui ruang interaksi yang disediakan,katanya.
Menurutnya,dalam masyarakat majmuk ada kalanya wujud kelompok yang terlepas pandang.
” Saya mahu mereka tampil berani dan tidak segan untuk berbincang secara terus agar saya dapat memahami keperluan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat Lahad Datu agar lebih cakna terhadap perkembangan teknologi dan merebut peluang memperkasa kemudahan yang disediakan kerajaan.
Beliau menyarankan komuniti setempat agar memanfaatkan Ruang Daya Cipta (RDC) di Kolej Vokasional Lahad Datu yang dibangunkan oleh MOSTI sebagai akses kepada teknologi dan latihan.
“RDC ini terbuka kepada orang awam, dan MOSTI akan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan akses kepada kemudahan tersebut,” katanya.
TAMAT
