LAHAD DATU:15 Julai – Kementerian Kerja Raya memberikan amaran tegas kepada semua kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo, khususnya bagi Pakej 1B, agar tidak membuat permohonan Extension of Time (EOT) atau lanjutan masa atas sebarang alasan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Mazlan berkata, ketegasan ini diambil setelah mengambil kira pengalaman lalu dalam pelaksanaan Pakej 1A, yang menyaksikan banyak kelewatan akibat EOT berulang kali sehingga projek tertangguh antara dua hingga tiga tahun.
“Saya telah mendapat taklimat berhubung Pakej 1A dan Pakej 1B. Pakej 1A melibatkan 15 Work Package (WP), manakala Pakej 1B sebanyak 19 WP yang telah dianugerahkan sejak hujung tahun lalu.
” Justeru saya nyatakan awal-awal, kita tidak akan meluluskan sebarang EOT bagi Pakej 1B,” katanya.
Menurut beliau, memberi EOT kepada satu syarikat akan membuka ruang kepada syarikat lain untuk menggunakan alasan yang sama, sehingga akhirnya keseluruhan projek mengalami kelewatan besar.
“Kita sudah belajar daripada kesilapan lalu. Kita tidak mahu projek rakyat ini terus lewat kerana ia merugikan semua.. kerajaan, rakyat dan kontraktor sendiri.
“Jika projek disiapkan lebih awal, ia beri keuntungan kepada kontraktor kerana kos operasi dapat dijimatkan.
“Kerajaan juga tidak perlu membayar tuntutan tambahan. Dan rakyat pula dapat menggunakan jalan yang siap dengan lebih selesa dan selamat,” jelasnya.
Tambah beliau, menjadi tanggungjawab kontraktor untuk menyelenggara jalan-jalan yang telah diambil alih daripada konsesi sedia ada sebaik projek dimulakan.
“Kegagalan menyelenggara akan menyebabkan jalan rosak dan menyusahkan rakyat bertahun-tahun.
” Ada projek yang sampai lima kali mohon EOT.. ini tidak boleh dibiarkan berulang. Dalam era kepimpinan kami, di bawah Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, kita tidak akan bertolak ansur terhadap alasan rekaan yang mahu menjustifikasi kelewatan,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan bahawa peringatan ini adalah amaran awal kepada semua pihak terlibat agar lebih bertanggungjawab dan memastikan jadual projek dipatuhi sepenuhnya.
TAMAT
