OPERASI MENCARI LELAKI HILANG DIPERCAYAI DIBAHAM BUAYA KETIKA MEMANCING DI KINABATANGAN MASIH DITERUSKAN

sabahheadlines
3 Min Read

sh@ Syarmila Salleh

KINABATANGAN: 8 Julai – Operasi mencari seorang lelaki bukan warganegara dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya masuk hari ketiga hari ini.

Mangsa dipercayai hilang tiba tiba ketika menjalankan aktiviti memancing bersama empat rakan di sungai berhampiran Tampilit Block 2503, Ladang Tomanggong, Sukau, dekat sini pada ahad lalu.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada pihak Balai Polis Sukau pada jam 1.14 petang 6 Julai lalu.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan yang terdiri daripada tiga anggota berkejar ke lokasi kejadian sejauh 241 kilometer dan tiba pada jam 6.48 petang.

Komander Operasi, Mohd Nor Azmer Bin Mat Shor Nasir berkata, kejadian berlaku ketika mangsa, Mare Miri, 39 tahun, sedang memancing bersama empat rakan lain sebelum seekor buaya tiba-tiba menerkam mangsa dan menyeretnya ke dalam sungai.

“Maklumat awal diterima daripada rakan mangsa yang menyaksikan kejadian itu. Usaha pencarian segera digerakkan sebaik pasukan penyelamat tiba di lokasi,” katanya.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini memasuki hari ketiga, dan pencarian melibatkan kawasan sejauh tiga kilometer ke hulu dan ke hilir dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.

Operasi turut disertai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan empat anggota, Jabatan Hidupan Liar (tiga anggota), serta lebih 40 orang awam yang tampil membantu usaha pencarian.

Jabatan Hidupan Liar juga telah memasang beberapa batang pancing khas di kawasan sekitar lokasi kejadian bagi tujuan menangkap buaya yang dipercayai menyerang mangsa.

“Setakat jam 5 petang tadi, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR ditangguhkan oleh pihak PDRM. Usaha pencarian akan disambung semula pada keesokan hari,” katanya lagi.

Pasukan penyelamat menggunakan sebuah jentera jenis Vigo bersama tiga anggota BBP Kinabatangan dalam operasi tersebut.

Sementara itu, pihak berkuasa menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak menjalankan sebarang aktiviti rekreasi atau memancing di kawasan sungai yang diketahui sebagai habitat buaya, terutama pada musim air pasang atau selepas hujan lebat.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau melihat sebarang petunjuk keberadaan mangsa diminta segera menghubungi pihak berkuasa terdekat.

TAMAT

Share This Article