sh@syamilah salleh
KOTA KINABALU (30 JUN): Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan penerima dan pemberi rasuah berkaitan cari gali mineral di negeri ini.
Datuk Dr Yusuf Yaakob (Adun Sindumin) dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Adun Tanjung Batu) yang dituduh sebagai penerima rasuah dan ahli perniagaan Dato Tei Jiann Cheing dari Syarikat Nova Asia Resources Sdn Bhd atas tuduhan pemberi rasuah membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu YA Tuan Jason Juga di sini hari ini.
Dua Pertuduhan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 iaitu memberi wang rasuah dan dua ( Pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 iaitu menerima wang rasuah.
Yusof (69) dan Andi Muhammad Suryady (44) masing-masing diwakili barisan peguam, Datuk Ram Singh, Rizwandean Bukhary M Borhan, Shahlan Jufri, Elhanan James, Datin Jaharah Patinbangi dan Prem Elmer Ganasan.
Manakala Tei Jiann Cheing (37) diwakili peguamnya, Edward Paul, Bartholomew Jingulam dan Jul Hamri Junhani.
Timbalan Pendakwa Raya pula ialah Rustam Sanip dan Nurul Izzati Sapifiee.
Mahkamah menetapkan jaminan RM50,000 (termasuk deposit RM10,000) dengan seorang penjamin tempatan bagi tertuduh pertama dan kedua, manakala tertuduh ketiga dikenakan jaminan RM60,000 (deposit RM15,000) dengan seorang penjamin tempatan.
Hakim turut memerintahkan agar semua tertuduh:
Melapor diri di Pejabat SPRM setiap dua bulan;
Tidak mengganggu saksi pendakwaan;
Menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 5 Ogos 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tamat
