sh@ Syamilah Salleh
TUNGKU: 29 Jun -Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) melihat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tungku berpotensi besar untuk menjadi salah satu kubu kuat parti itu pada masa depan.
Ketua Penerangan PGRS Sabah, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata, keyakinan itu berdasarkan komitmen dan kerjasama erat kepimpinan PGRS di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, gandingan antara generasi muda dan pemimpin berpengalaman di bawah teraju Ketua PGRS Bahagian Tungku, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan, memberi kelebihan besar kepada PGRS dalam menambat hati rakyat.
“Saya yakin, dengan kepimpinan yang ada ,yang muda, yang berpengalaman dipimpin Datuk Hakim yang sememangnya dikenali di sini, Tungku bakal menjadi kubu kuat PGRS pada masa akan datang,” katanya.
Tambah beliau, sejak beberapa tahun lalu, kawasan Tungku tidak menerima pembangunan sewajarnya meskipun pernah diwakili pemimpin yang berada dalam kerajaan untuk tempoh tertentu.
“Tidak banyak pembaharuan dibawa. Sedangkan kawasan ini mempunyai potensi besar, termasuk dari sudut pelancongan dan kewujudan Felda,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Tahunan PGRS Bahagian Tungku, pada petang Sabtu.
Nizam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri turut menyatakan bahawa sekiranya PGRS diberi mandat, pembangunan menyeluruh di Tungku akan menjadi realiti.
“Dengan tadbir urus yang baik dan wakil rakyat dari kerajaan, khususnya PGRS, kita yakin Tungku akan menjadi kawasan maju dan sejahtera untuk rakyatnya,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau melihat sokongan rakyat terhadap PGRS di Tungku amat memberangsangkan, dan jentera parti sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Dengan semangat juang dan sokongan padu, saya yakin PGRS mampu memenangi kerusi DUN Tungku pada PRN nanti serta menyumbang kepada kekuatan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Insya-Allah,” katanya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Nizam turut mengingatkan ahli dan penduduk Tungku agar tidak mengulangi kesilapan masa lalu dengan memilih pemimpin yang gagal menjaga kebajikan rakyat.
“Pemimpin pembangkang tidak membawa sebarang manfaat kepada kawasan ini, malah hanya menumpang kredit atas usaha pihak lain,” katanya.
Sementara itu, Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan menyeru seluruh ahli PGRS Bahagian Tungku untuk menghayati tiga elemen utama perjuangan parti , kerja keras, semangat berpasukan dan keikhlasan.
Katanya, lebih lapan tahun kawasan itu diwakili pembangkang, namun pembangunan dan infrastruktur masih jauh ketinggalan.
“Justeru, kita perlu berganding bahu dan berjuang memastikan kemenangan PGRS demi masa depan rakyat dan kemajuan kawasan Tungku,” katanya.
TAMAT
