LAHAD DATU: 24 Jun – Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar menerusi pembukaan rasmi Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom di Kawasan Konservasi Lembah Danum, hari ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor berkata, penubuhan pusat tersebut merupakan langkah strategik ke arah pemuliharaan biodiversiti dan pengurusan mampan sumber asli negeri ini.
Ia turut mencerminkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi 0dan penjagaan alam sekitar, seiring dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Penubuhan pusat ini dengan peruntukan RM5.6 juta daripada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri memperkukuh usaha pemuliharaan demi manfaat generasi kini dan akan datang,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya.
Tambah beliau, Sabah merupakan antara negeri yang terbukti berjaya melaksanakan inisiatif pemulihan hutan secara berkesan, hasil visi dan komitmen jangka panjang dalam perlindungan alam sekitar.
Hajiji turut menyeru Kerajaan Persekutuan agar mempertingkatkan sokongan, khususnya melalui pembiayaan berterusan seperti Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF) dan peruntukan dalam Rancangan Malaysia Ke-13.
Beliau juga menekankan peranan penting pendidikan alam sekitar dalam melahirkan generasi yang peka terhadap isu pemuliharaan. Justeru, beliau menyambut baik usaha Kelab Pencinta Alam Sabah, di bawah Kumpulan Yayasan Sabah, yang mengambil inisiatif menjadikan beberapa sekolah di Lahad Datu sebagai sekolah angkat di bawah program pendidikan mereka.
“Langkah ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami ilmu pemuliharaan, malah membentuk rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar sejak usia muda,” katanya.
Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan pembangunan berteraskan kelestarian hijau, dengan memberi penekanan kepada pengurusan sumber asli secara berhemah serta memastikan kesejahteraan sosial dan pertumbuhan ekonomi negeri kekal mampan.
Beliau turut memuji peranan cemerlang Yayasan Sabah dalam mengurus dan memelihara kawasan konservasi hutan simpan perlindungan serta kawasan yang diwartakan sebagai Totally Protected Area.
“Yayasan Sabah telah membawa nama negeri ke pentas antarabangsa melalui pendekatan pengurusan konservasi yang telus, berintegriti dan berpandangan jauh,” ujarnya.
Stesen Penyelidikan Langom merupakan inisiatif Yayasan Sabah dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS). Ia terletak dalam Hutan Simpan Ulu Segama Malua, berdekatan projek Face The Future, Netherlands (INFAPRO) dan Pusat Pembelajaran Lembah Danum, dan dibangunkan sebagai hab penyelidikan biodiversiti tropika serta pemuliharaan hutan secara saintifik dan lestari.
TAMAT

