PENAMPANG, 3 MEI- Polis menahan dan menyita dua motosikal dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan di sekitar daerah ini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata operasi bersepadu oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) itu dilaksanakan bagi membanteras aktiviti lumba haram serta meningkatkan pematuhan undang-undang jalan raya.
Menurutnya, operasi yang berlangsung dari jam 11 malam hingga 3 pagi di Jalan Pintas Penampang serta Jalan Papar-Kota Kinabalu itu melibatkan pemeriksaan terhadap sembilan kenderaan dan 13 individu.
“Hasil pemeriksaan lapan saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala dua motosikal disita mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pengubahsuaian melampau,” katanya.
Beliau menegaskan operasi seumpama itu akan diteruskan secara berkala selain menasihatkan golongan remaja agar tidak terlibat dalam kegiatan lumba haram yang berisiko tinggi terhadap keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
