WARGA EMAS MAUT DALAM KEMALANGAN

SYARMILAH SALLEH

LAHAD DATU (9MEI): Seorang warga emas lelaki berusia 67 tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 58, Jalan Lahad Datu – Tungku, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Haji Ismail berkata,hasil siasatan awal pihak polis, kejadian berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun bersama seorang penumpang wanita berumur 51 tahun (kedua-duanya warganegara), sedang dalam perjalanan dari arah Tungku menuju ke Lahad Datu.

” Setiba di lokasi kejadian, sebuah motokar yang dipandu mangsa dipercayai keluar dari simpang kiri jalan secara tiba-tiba dan menyebabkan pemandu pacuan empat roda tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan kenderaan tersebut.”

“Kesan perlanggaran itu mengakibatkan kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu kanan jalan sebelum berpusing dan menghala semula ke arah Tungku”,katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya,mangsa yang memandu motokar terbabit telah dibawa oleh orang awam ke Klinik Kesihatan Tungku untuk rawatan lanjut, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Sementara itu, pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurut beliau, mana-mana individu yang menyaksikan kejadian supaya tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.

Dzulbaharin turut menasihatkan semua pemandu agar sentiasa memandu dengan berhati-hati dan berhemah, khususnya dalam keadaan cuaca hujan dan jalan yang licin, bagi mengelakkan kemalangan serta membahayakan pengguna jalan raya lain.

Sampel darah kedua-dua pemandu telah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kota Kinabalu bagi ujian alkohol dan dadah.

TAMAT