SABAH HEADLINES -SYARMILAH SALLEH
18 MAC 2025
TAWAU : Seramai 767 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Wilayah Timur terlibat dalam penerimaan pendapatan bagi tahun lepas dengan jumlah RM627,016.02 dan tabungan peneroka itu diagihkan awal tahun ini.
Pengurus Besar LKTNS, Syaheddrul R Joddari berkata, jumlah keseluruhan dividen bagi tahun lalu adalah sebanyak lebih RM12.5 juta.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Pendapatan kepada peneroka-peneroka Wilayah Timur 2025 di Masjid Nur Taqwa Batu 17, Apas Balung, pada Isnin.
Katanya, Purata pendapatan peneroka adalah RM1,367.57 sebulan dan menunjukkan trend menuju sasaran RM1,500.
Menurutnya,seramai 254 peneroka Balung dan Apas menerima pendapatan lebih RM4 juta dan daripada jumlah itu, lebih RM60,000 adalah tabungan sementara purata pendapatan lebih RM1,300,.
Sementara itu, ADUN Balung, Datuk Hamild Awang berkata, agihan tabungan ini sedikit sebanyak dapat memberi sinar gembira kepada peneroka yang layak menerima.
“Saya berharap agar para peneroka
terus berusaha dan terus menyokong segala usaha yang dilaksanakan
LKTNS dalam meningkatkan pendapatan peneroka.
Keputusan LKTNS untuk menyelesaikan agihan tabungan sebelum
menjelang Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja akan memberikan kelegaan
tetapi juga meningkatkan keyakinan para peneroka terhadap LKTNS,” ujarnya.

