SABAH HEADLINES+SYARMILAH SALLEH
22 FEBRUARI 2025
SANDAKAN:Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia ( BERSATU) Datuk Seri Hamzah Zainuddin yakin dengan adanya gabungan antara kepimpinan berpengalaman dengan anak muda berupaya mengukuhkan lagi Perikatan Nasional ( PN).
Ini katanya,antara langkah yang menjadi fokus utama PN dalam usaha mengetengahkan golongan muda yang merupakan aset kepada negara.
Hamzah berkata demikian kepada media di Program Jelajah Sabah Zon 5 Sabah 2025 di Dewan Sri Gum-Gum, Batu 16 Sandakan semalam.
Katanya, potensi anak muda yang berwibawa perlulah digilap supaya mereka boleh bersedia apabila diketengahkan suatu hari nanti.
” … Kita perlukan anak-anak muda dan akan kita ketengahkan sebab mereka ini laa yang akan menentukan masa depan yang lebih jauh di hadapan .. jadi sebab itu, kita akan pastikan bahawa semua ini akan kita gabungkan kepimpinan yang berpengalaman dan mereka anak-anak muda yang berwibawa yang boleh kita ketengahkan untuk menjadi pemimpin negeri …,katanya.
Beliau yakin apabila kedua-duanya digabungkan bukan sahaja memperkuatkan parti tetapi juga meningkatkan keyakinan rakyat sekali gus menarik sokongan anak-anak muda.
Begitu pun, ujarnya biarlah acuan ini menepati citarasa yang boleh diterima semua golongan khususnya di peringkat akar umbi.
Dalam pada itu, Hamzah menyatakan siri jelajah ketiga ini telah menunjukkan satu peningkatan yang cukup positif dan memberangsangkan apabila dihadiri lebih 1,000 orang.
Katanya, ini menunjukkan bahawa kepercayaan rakyat terhadap PN khususnya di Sabah semakin bertambah.
Beliau memberi jaminan untuk memperjuangkan masalah rakyat di negeri itu yang sering membelenggu mereka terutama isu air, jalan raya dan sebagainya.
Hadir sama pada majlis itu, Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sabah merangkap Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Bersatu Malaysia merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah serta barisan AMT Bersatu yang lain.
