IPD Sandakan Anjur Program Fiqh Nisa Perkasa Kefahaman Ibadah Puasa

sabahheadlines
1 Min Read

SANDAKAN, 29 Jan — Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan menerusi Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (Cawangan Agama) telah menganjurkan Program Fiqh Nisa: Puasa Terjaga, Pahala Terpelihara sebagai usaha memperkukuh kefahaman berkaitan ibadah puasa dalam kalangan warga kerja wanita, di sini, hari ini.

Program yang berlangsung di Bilik Gerakan IPD Sandakan dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi itu bertujuan memberi pendedahan mengenai hukum-hakam puasa menurut syariat Islam, termasuk perkara yang boleh membatalkan ibadah serta amalan yang mengurangkan pahala, di samping penjelasan berkaitan perkara sunat dan makruh sepanjang berpuasa.

Pengisian program merangkumi sesi talaqi Surah al-Fatihah, penerangan berkaitan puasa Ramadan, sesi interaktif soal jawab serta diakhiri dengan sesi bergambar. Program ini disampaikan oleh Ustazah Masreeza binti Osman daripada Cawangan Agama, Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) IPD Sandakan.

Program berkenaan mendapat penyertaan Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam Polis wanita IPD Sandakan, sekali gus mencerminkan sambutan yang memberangsangkan daripada warga IPD Sandakan.

Penganjuran program seumpama ini diharap dapat melahirkan warga kerja yang bukan sahaja berilmu dalam pelaksanaan ibadah, malah berintegriti serta berakhlak mulia dalam melaksanakan tugas seharian.

TAMAT

Share This Article