Keluarga Tahanan SOSMA Sokong Kajian Semula Akta SOSMA Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

khaiz
3 Min Read

SABAH HEADLINES -SYARMILAH SALLEH

16 Februari 2025

KOTA KINABALU: Ahli keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) SOSMA menyambut baik pengumuman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam.

Salah seorang ahli keluarga yang terlibat, yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, berharap agar pihak kerajaan akan meneliti semula peruntukan akta tersebut agar keadilan dapat diberikan kepada mereka yang benar-benar teraniaya.

“Saya bersyukur kerajaan mahu mengkaji semula SOSMA kerana ramai yang ditahan bertahun-tahun tanpa dibicarakan secara adil,kami hanya mahu keadilan diberikan dan tidak mahu melihat keluarga terus menderita akibat undang-undang yang terlalu keras,” katanya.

Seorang lagi ahli keluarga, Zainah, yang suaminya ditahan sejak dua tahun lalu tanpa perbicaraan, turut merayu agar kerajaan bertindak dengan lebih adil dan mengambil kira nasib keluarga yang terjejas.

“Anak-anak saya masih kecil dan mereka tidak memahami mengapa ayah mereka tidak pulang. Setiap hari mereka bertanya, dan saya tidak ada jawapan,kami bukan menidakkan kepentingan keselamatan negara, tetapi biarlah mereka yang ditahan diberi hak untuk membela diri dengan sewajarnya,” luahnya dengan sebak.

Sementara itu, Sufian, abang kepada seorang tahanan SOSMA, menegaskan bahawa akta ini perlu dikaji semula kerana banyak kes tahanan reman berpanjangan tanpa bukti kukuh.

“Tidak semua yang ditahan itu bersalah..jika ada bukti, bawa ke mahkamah, biarkan proses keadilan berjalan,tetapi jika tiada bukti yang kukuh, jangan biarkan mereka terus merana di dalam tahanan..ini bukan hanya isu tahanan, tetapi juga penderitaan keluarga mereka,” katanya.

Salah seorang ibu kepada tahanan, Siti Aisyah pula amat sedih kerana anaknya sebelum ini sudah dikenakan hukuman Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) dan kini pula ditahan akta SOSMA.

“Makcik sangat sedih dan berharap agar anak saya diberikan peluang serta keadilan sewajarnya, namun saya percaya Perdana Menteri dan Menteri KDN akan dapat membantu dan mendengar rayuan kami,” ujarnya.

Mereka berharap kerajaan bukan sahaja mengkaji semula SOSMA, tetapi juga memastikan setiap individu yang ditahan diberikan peluang perbicaraan yang adil serta layanan yang lebih berperikemanusiaan membuka jaminan kepada mereka.

Semalam, Menteri KDN Datuk Seri Saifuddin Nasution memberitahu kerajaan akan meneliti semula peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dengan fokus prinsip keadilan bagi mencapai keseimbangan antara kewajipan mempertahankan keselamatan negara, ketenteraan awam dengan menghormati hak asasi seseorang individu.

Share This Article